Antara masalah utama yang dialami pengguna unifi adalah sambungan Wi-Fi yang perlahan walaupun melanggan pakej yang mahal.

Sekiranya anda melanggan unifi atau mana-mana pakej fixed internet, anda sepatutnya mendapat kelajuan sekurang-kurangnya 80% daripada kelajuan yang dijanjikan. Sebagai contoh, sekiranya anda melanggan pakej 100mbps, anda boleh menikmati kelajuan muat turun sekurang-kurangnya 80mbps.

Bagaimanapun, kelajuan ini adalah juga bergantung kepada beberapa faktor yang biasanya mempengaruhi kemampuan rangkaian Wi-Fi anda. Antara faktor yang terlibat adalah seperti berikut:

1) Jarak Router & Peranti

Semakin jauh kedudukan peranti dengan Router, maka semakin lemah rangkaian Wi-Fi tersebut. Jadi, peranti anda digunakan berdekatan dengan Router untuk kelajuan optimum. Anda juga boleh memasang peralatan tambahan untuk membantu meningkatkan liputan WiFi anda seperti menggunakan Mesh WiFi dan WiFi Extender.

2) Halangan Dinding

Signal WiFi secara amnya bergerak mengikut garis penglihatan (Line of sight). Jadi sekiranya terdapat halangan seperti dinding di antara peranti dan Router, ia mungkin akan mengurangkan prestasi rangkaian WiFi anda.

Pertimbangkan untuk memasang Mesh WiFi, WiFi Extender atau Access Point bagi mengatasi masalah ini.

3) Gangguan Frekuensi

Rangkaian WiFi menggunakan 2 frekuensi utama iaitu 2.4GHz dan 5GHz. Frekuensi 2.4GHz dapat meliputi kawasan yang lebih luas berbanding 5GHz tetapi boleh mengalami gangguan kerana ia lebih digunakan secara meluas selain turut digunakan oleh peralatan elektronik lain. Selain itu, band 2.4GHz juga hanya berupaya menyokong kelajuan rangkaian sehingga 150Mbps sahaja. 

Sekiranya anda berada hampir dengan router, gunakan band 5GHz untuk pengalaman WiFi yang lebih stabil.

4) Keupayaan Peranti

Tidak semua peranti memiliki keupayaan yang sama. Sekiranya anda menggunakan peranti yang agak lama, mungkin kelajuan WiFi anda dihadkan oleh kemampuan peranti anda.

Sebagai contoh, mungkin komputer riba lama anda hanya mempunyai keupayaan 802.11b/g sahaja yang memyokong kelajuan WiFi maksimum 54Mbps sahaja. Jadi, walaupun anda melanggan pakej 300Mbps sekalipun, anda tidak akan dapat menikmati kelajuan yang dijanjikan.

Jadi, kenalpasti spesifikasi peranti anda untuk memahami situasi sebenar dan bandingkan kelajuan wifi dengan menggunakan pelbagai peranti berbeza.

5) Kemampuan Router

Kebanyakan pengguna unifi bergantung sepenuhnya kepada peralatan yang diberikan secara percuma oleh pihak TM. Ada diantara router yang dibekalkan sudah berusia bertahun dan tidak pernah digantikan.

Sekiranya faktor-faktor lain sudah dipertimbangkan, tetapi anda masih mengalami masalah rangkaian WiFi, mungkin prestasi router adalah penyebabnya.

Adalah berbaloi untuk menggantikan router lama dengan yang terbaharu, supaya anda sekeluarga dapat menikmati pengalaman WiFi yang lebih baik. 

Sekiranya anda telah melanggan unifi melebihi 2 tahun dan kontrak telah tamat, anda boleh menghubungi pihak TM untuk memohon router baharu dan kontrak anda akan diperbaharui.

Walaubagaimanapun, anda juga boleh memilih untuk membeli sendiri router yang lebih baik prestasi dan kemampuannya. Buatlah sedikit pelaburan yang bijak untuk menggantikan router lama anda. Dengan kos sekitar RM200-300, anda sudah boleh mendapatkan sebuah router yang baik yang akan memberikan kepuasan kepada anda sekeluarga. 

Kami juga menyarankan anda untuk melihat kepada router generasi terkini yang menggunakan teknologi WiFi6 sebagai contoh TP-Link AX20 yang boleh didapati sekitar harga rm250.